alyainsyirah

Friday, May 20, 2011

Berkat Kejujuran

Syeikh Abdul Kadir semasa berusia 18 tahun meminta izin ibunya merantau ke Baghdad untuk menuntut ilmu agama. Ibunya tidak menghalang cita-cita murni Abdul Kadir meskipun keberatan melepaskan anaknya berjalan sendirian beratus-ratus batu. Sebelum pergi ibunya berpesan supaya jangan berkata bohong dalam apa jua keadaan. Ibunya membekalkan wang 40 dirham dan dijahit di dalam pakaian Abdul Kadir. Selepas itu ibunya melepaskan Abdul kadir pergi bersama-sama satu rombongan yang kebetulan hendak menuju ke Baghdad.

Dalam perjalanan, mereka telah diserang oleh 60 orang penyamun. Habis harta kafilah dirampas tetapi penyamun tidak mengusik Abdul Kadir kerana menyangka dia tidak mempunyai apa-apa. Salah seorang perompak bertanya Abdul Kadir apa yang dia ada. Abdul Kadir menerangkan dia ada wang 40 dirham di dalam pakaiannya. Penyamun itu hairan dan melaporkan kepada ketuanya. Pakaian Abdul Kadir dipotong dan didapati ada wang sebagaimana yang diberitahu.

Ketua penyamun bertanya kenapa Abdul Kadir berkata benar walaupun diketahui wangnya akan dirampas? Abdul Kadir menerangkan yang dia telah berjanji kepada ibunya supaya tidak bercakap bohong walau apa pun yang berlaku. Apabila mendengar dia bercakap begitu, ketua penyamun menangis dan menginsafi kesalahannya. Sedangkan Abdul Kadir yang kecil tidak mengingkari kata-kata ibunya betapa dia yang telah melanggar perintah Allah sepanjang hidupnya. Ketua penyamun bersumpah tidak akan merompak lagi. Dia bertaubat di hadapan Abdul Kadir diikuti oleh pengikut-pengikutnya.


Moral & Iktibar

Ilmu Agama perlu dituntut meskipun terpaksa berjalan jauh.
Kata-kata ibu menjadi pendorong dan perangsang dalam hidup.
Berkata benar adalah satu kekuatan yang boleh memberi keinsafan kepada orang lain.
Niat yang baik dan ikhlas mendapat keberkatan daripada Allah.


22 Tanda Hari Kiamat Semakin Hampir

1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).
2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.
3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.
4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.
5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.
6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.
7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.
8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.
9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.
10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.
11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).
12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.
13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.
14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.
15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,
16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.
17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.
18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama.
19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.
20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.
21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).
22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

10 Hadiah Allah Di Dunia Untuk Orang Bertaqwa

Kehidupan orang-orang bertakwa sangat indah dan penuh keberuntungan.
Di dunia lagi Allah (SWT) telah janjikan pelbagai `hadiah',
sebagaimana digambarkan-Nya di dalam al-Quran…

1. Sentiasa mendapat petunjuk
"Mereka itulah (orang-orang bertakwa) yang tetap mendapat petunjuk
dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang beruntung."
(Al-Baqarah: 5)

2. Diberi penyelesaian dari masalah
"Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah (SWT) nescaya akan
diberikan kepadanya jalan keluar." (At-Thalaq: 2)

3. Dipermudah segala urusan
"Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah (SWT) nescaya Allah (SWT)
akan memudahkan baginya segala urusannya." (At-Thalaq: 4)

4. Mendapat rezeki dari sumber tidak terduga
"… dan memberinya (orang bertakwa) rezeki dari sumber yang tidak
terduga." (At-Thalaq: 3)

5. Dikasihi Allah (SWT) (dengan itu turut dikasihi malaikat dan manusia)
"Sesungguhnya Allah (SWT) menghasihi orang-orang yang bertakwa." (Ali
Imran: 76)

6. Mendapat keberkatan dari langit dan bumi
"Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya
kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi."
(Al-A'raf: 96)

7. Mendapat keselamatan, pertolongan dan perlindungan dari Allah (SWT)
"Dan kami selamatkan orang-orang beriman dan mereka adalah orang-orang
yang bertakwa." (Al-Fussilat: 18) "… dan bertakwalah kepada Allah
(SWT) dan ketahuilah Allah (SWT) berserta (menolong dan melindungi)
orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah: 194)

8. Mendapat kemenangan
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan."
(An-Naba: 31)

9. Terpelihara dari tipu daya musuh
"Jika kamu bersabar dan bertakwa, nescaya tipu daya mereka sedikit pun
tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu." (Ali Imran: 120)

10. Diberikan `furqan' (petunjuk untuk membezakan yang benar dan salah)
"Jika kamu bertakwa kepada Allah (SWT), nescaya Dia akan memberikan
kepadamu Furqan."
(Al-Anfal: 29)